GLOBAL

Misi hantar pulang pelarian Rohingnya batal

BANGLADESH, 15 NOV: Rancangan menghantar pulang pelarian etnik Muslim Rohingnya ke Myanmar tidak bermula hari ini ekoran bantahan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang bimbang keselamatan mereka.

Perkembangan itu dimaklumkan dua sumber yang diberi taklimat langsung mengenai perkara itu.

“Ia tidak berlaku esok (hari ini) kerana tiada siapa mahu pulang,” kata satu daripada sumber.

Bagaimanapun, Kerajaan Bangladesh gagal dihubungi untuk mengulas.

Terdahulu, Bangladesh telah memulakan persediaan menghantar pulang kumpulan pertama pelarian Rohingya ke Rakhine hari ini, sejajar dengan pelan dua hala dipersetujui antara dua kerajaan, pada Oktober lalu.

Penghantaran pulang kumpulan pertama seramai 2,200 pelarian itu sepatutnya secara rasmi bermula hari ini dan pihak berkuasa di Myanmar berkata, mereka telah bersedia untuk tujuan itu.

Bangladesh berikrar untuk tidak memaksa sesiapa kembali dan meminta Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) memastikan mereka yang disenarai pendek untuk pulang, benar-benar mahu kembali ke negara itu.

Lebih 700,000 etnik Rohingya lari daripada tindakan keras tentera di Rakhine tahun lalu.

Pelarian Rohingya mendakwa, tentera tempatan membunuh keluarga, membakar ratusan perkampungan dan melakukan rogol beramai-ramai.

Sebelum ini, puluhan keluarga pelarian Rohingya yang berada dalam senarai penghantaran pulang ke Myanmar pada minggu ini lari meninggalkan kem di Bangladesh.


Pengarang :