SELANGOR

Operasi Uptown Seksyen 24 ditutup seminggu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 NOV: Operasi perniagaan Uptown Seksyen 24, Shah Alam akan ditutup sekurang-kurangnya seminggu tetapi ia bergantung kepada hasil siasatan forensik kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Uptown Shah Alam, Ghazali Che Ismail, 44, berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada semua peniaga.

“Kita akan tunggu siasatan Jabatan Bomba dan mendengar syor dikemukakan sebelum kembali memulakan semula perniagaan.

“Kebanyakkan peniaga yang menjadi mangsa menjalankan perniagaan fesyen serta dua kedai runcit.

“Operasi perniagaan tamat sekitar jam 3.30 pagi dan dianggarkan 26 pemilik premis yang terlibat dalam kejadian kebakaran,” katanya.

Beliau yang turut menjalankan perniagaan barangan sukan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh pegawal kesemalatan bertugas yang bertindak segera menghubungi bomba selepas menyedari kebakaran berlaku.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan kejadian kebakaran itu memusnahkan 35 lot kedai dan pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.37 pagi.

Seramai 39 anggota dari Balai Shah Alam, Kota Anggerik dan Subang Jaya dikejarkan ke tempat kejadian manakala kebakaran berjaya dikawal sekitar 5.50 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

 


Pengarang :