NASIONAL

Pemilihan KEADILAN cabang Kuala Selangor berlangsung hari ini

SHAH ALAM, 11 NOV: Proses pemilihan KEADILAN cabang Kuala Selangor yang tertangguh sebelum ini, berlangsung hari ini, di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Proses pengundian menggunakan kaedah e-undi dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi sehingga 5 petang membabitkan 17,737 anggota layak mengundi.

Sebelum ini, proses pemilihan cabang itu yang sepatutnya berlangsung pada 28 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan kerana masalah ketiadaan isyarat telekomunikasi di pusat pengundian, di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Polis kemudian mengesahkan berkenaan penemuan alat penghalang isyarat telekomunikasi di bahagian tempat duduk stadium berkenaan oleh petugas MDKS ketika melakukan kerja pembersihan, lapor BERNAMA.

Sementara itu, persaingan merebut jawatan timbalan presiden, di Selangor setakat ini menyaksikan penyandangnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendahului dengan undian terkumpul 18,453 undi, berbanding pencabar tunggalnya, Rafizi Ramli yang memperoleh 15,045 undi.

Selangor mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi, iaitu 249,850 orang dan dikatakan ‘kubu kuat’ kepada Mohamed Azmin yang juga bekas Dato’ Menteri Besar Selangor.


Pengarang :