NASIONAL

Polis tembak mati tiga anggota Geng Rantau

GEORGE TOWN, 10 NOV: Tiga lelaki warga asing dipercayai anggota Geng Rantau ditembak mati polis dalam kawasan hutan selepas cuba memecah masuk sebuah rumah banglo, di Tanjung Bungah, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Pulau Pinang, ACP Rahimi Rais berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, pada jam 4.20 pagi sebelum anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di rumah itu, anggota kami mendapati terdapat tiga lelaki cuba memecah masuk banglo berkenaan dan mereka bertindak melarikan diri ke arah hutan berhampiran selepas menyedari kehadiran polis.

“Pihak polis bertindak mengejar mereka kira-kira 500 meter ke dalam hutan berkenaan dan semasa sedang mencari tiga suspek itu, mereka cuba menyerang anggota menggunakan parang sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri, ” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiga lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditembak dalam insiden terbabit.

Rahimi berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen perjalanan diri bersama tiga lelaki itu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka adalah anggota geng pecah rumah dan samun, di sekitar negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, mereka yang dipercayai anggota geng rantau itu juga tinggal di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak polis dan menjadikan kawasan perumahan mewah untuk melakukan kegiatan pecah rumah dan samun mangsa.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut pembabitan mereka dalam beberapa kes pecah rumah dan samun, di negeri ini terutama di Daerah Timur Laut, baru-baru ini sehingga membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit,” katanya.

Mayat tiga lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.


Pengarang :