KUALA LUMPUR, 5 Nov — Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 1.25 tengah hari ini untuk untuk didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 hari ini. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Sebutan kes Musa Aman pada 13 Disember

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan sebutan kes membabitkan tuduhan rasuah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, pada 13 Disember ini.

Keputusan itu ditetapkan Hakim Rozina Ayob selepas mendengar hujah pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala Musa diwakili peguam, Amer Hamzah Arshad.

Sebelum itu, Sri Ram menawarkan Musa ikat jamin RM5 juta bagi semua tuduhan dan hakim kemudiannya membenarkan beliau diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Mahkamah mengarahkan wang jaminan RM1 juta dibayar, pada hari ini manakala baki dibayar, pada Rabu ini dan memerintahkan pasport antarabangsa serta diplomatik Musa diserahkan kepada mahkamah.

Sebagai syarat tambahan, Musa perlu berada di Kuala Lumpur sehingga wang jaminan selesai dibayar.

Terdahulu, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak, di Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta (RM263.46 juta).

Musa yang memakai kot hitam dan bersongkok serta memakai tongkat memahami setiap pertuduhan dibacakan dua jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Mengikut tuduhan, Musa sebagai ejen Kerajaan Sabah, iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri beliau suapan daripada enam individu, iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Wang suapan itu ialah dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal beliau memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada beberapa syarikat antaranya Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd dan J V Lestari Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 1.25 tengah hari ini untuk untuk didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 hari ini.
–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tujuh bank dan institusi kewangan di luar negara, antaranya HSBC Bank, Claymore Plaza dan Ocean Tower serta Credit Suisse, Raffles Place di Singapura dan Citi Bank Kowloon, UBS AG Bank, Central dan JP Morgan Chase Manhattan Bank di Hong Kong, China

Semua tuduhan terhadap Musa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Jika disabitkan, beliau boleh dihukum maksimum penjara 29 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

 


Pengarang :