SELANGOR

SPAH bakal jadi syarat wajib Kebenaran Merancang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 NOV: Selangor akan menguat kuasakan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) sebagai syarat wajib Kebenaran Merancang dalam semua projek pembangunan baru, di negeri itu.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan air bersih mencukupi untuk generasi akan datang.

“Suatu hari nanti perlu dilaksanakan bila kita sudah bersedia kerana kita tahu air sangat penting termasuk penjimatannya untuk generasi akan datang.

“Pihak saya akan adakan kajian bersama Jabatan Perancang Bandar dan Desa untuk menentukan bila boleh dikuat kuasakan tetapi saya percaya lambat laun kita tidak boleh elak,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, pada masa ini Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor menggalakkan semua projek pembangunan baru perlu mematuhi Indeks Bangunan Hijau yang menekankan kelestarian penggunaan sumber tenaga dan air.

Katanya, trend penguat kuasaan sistem SPAH sudah dilaksanakan di kebanyakan negara maju.

Terdahulu, pada Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Selangor, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi amaran generasi akan datang bakal berdepan isu ketidakcukupan air jika mentaliti masyarakat hari ini masih di takuk lama tanpa persediaan rapi.

Katanya, permintaan air dijangka terus meningkat sehingga mencapai 8,697 Juta Liter/Hari (JLH), pada 2065 berbanding 5,127 JLH yang dicatatkan hari ini.


Pengarang :