SELANGORSUKANKINI

Tiga organisasi RMS beri manfaat kepada lebih 145,000 belia

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Lebih 145,000 belia Selangor mendapat manfaat daripada tiga organisasi bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, sejak 2016.

Antara tiga organisasi terbabit adalah Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), Selangor Youth Community (SAY) dan Akademi Bola Sepak Selangor.

Tengku Amir turut perkenan berkongsi segala aktiviti dilakukan belia terlibat di hadapan hampir 300 ‘stakeholder’, penyokong dan penaja organisasi terbabit di Hotel Sunway Putra, di sini.

Pada masa sama, Tengku Amir turut melancarkan SAY IGNITE 2018 bagi meraikan belia pelbagai latar belakang, bakat dan kebolehan yang bakal diadakan di Taman Tasik Shah Alam, pada 11 November .

Sementara itu, berkongsi berkenaan YRMS, baginda bertitah, sehingga kini lebih 2,000 pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mengikuti kursus itu di Malaysia.

Baginda optimis supaya lebih ramai rakan kongsi dan penaja industri turut sama terlibat supaya YRMS dapat membantu lebih ramai komuniti pada masa akan datang.

Manakala, baginda turut berkongsi berkenaan kejayaan SAY dengan empat fokus utama iaitu Seni dan Budaya, Sukan dan Kesihatan, Keusahawanan serta Perkhidmatan Masyarakat.

Menyentuh bidang sukan, baginda bertitah, Akademi Bola Sepak Selangor pula kini sudah mencatat 900,000 pemain dan ia adalah liga amatur pertama mendapat pengiktirafan khas dari Liga Bola Sepak Malaysia.

Hal itu membuktikan bahawa Tengku Amir komited membantu belia di Selangor untuk merealisasikan impian mereka.


Pengarang :