NASIONAL

Bursa Malaysia catat bukaan lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Bursa Malaysia dibuka dengan catatan lebih tinggi hari ini berbanding semalam dan menjejaki pemulihan semalaman Wall Street serta kenaikan harga minyak mentah.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.34 mata kepada 1,680.94 berbanding 1,672.60 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 7.11 mata lebih tinggi kepada 1,679.71.

Jumlah dagangan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 274 berbanding 26 manakala 86 kaunter lain tidak berubah, 1,498 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 149.64 juta saham bernilai RM63.53 juta.

Seorang peniaga berkata peningkatan Wall Street yang mencatat lebih empat peratus, juga memaparkan pemulihan keyakinan pelabur.

“Peningkatan harga minyak mentah Brent kira-kira lapan peratus kepada tahap semasa US$54.35 setong, juga terbukti memacu sentimen pasaran,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank untung tiga sen kepada RM9.38, Public Bank naik empat sen kepada RM24.80, Tenaga menokok 12 sen kepada RM13.66, CIMB meningkat lima sen kepada RM5.77 manakala Petronas Chemicals pada RM9.19.

Saham aktif pula menyaksikan Hibiscus meningkat 4.5 sen kepada 82 sen, Sapura Energy meraih setengah sen kepada 29.5 sen, Bumi Armada naik satu sen kepada 16 sen manakala Hubline tidak berubah pada empat sen.

Selain itu, KESM menjadi kaunter mencatat kenaikan tertinggi setakat ini iaitu 22 sen kepada RM7.80, Allianz menambah 20 sen kepada RM12.60, Petronas Gas naik 14 sen kepada RM18.90, Top Glove meningkat 12 sen kepada RM5.77 dan Yinson menambah 11 sen kepada RM4.46.

Indeks FBM Emas pula menokok 69.0 mata kepada 11,449.30, Indeks FBMT 100 menambah 67.03 mata kepada 11,366.15, FBM 70 melonjak 120.97 mata kepada 12,935.49 dan Indeks FBM Ace naik 63.97 mata kepada 4,238.46.

Indeks FBM Emas Shariah turut meningkat 80.12 mata kepada 11,404.15.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 48.93 mata kepada 17,249.86, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri bertambah 0.37 mata kepada 164.89 manakala Indeks Perladangan menokok 4.27 mata kepada 6,758.93.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :