EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia kekal aliran rendah

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Saham di Bursa Malaysia kekal dalam aliran rendah pada Khamis, seiring dengan prestasi pasaran global lainnya, kata peniaga.

Pada jam 9.04 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.56 mata kepada 1,683.71 berbanding 1,688.27 sewaktu ditutup, pada Rabu.

Indeks petunjuk utama itu dibuka 4.92 mata lebih rendah kepada 1,683.35.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 100 berbanding 60 dengan 119 kaunter tidak berubah, 1,590 tidak didagangkan manakala 23 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 115.82 juta unit bernilai RM34.17 juta.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan itu dijangka terus lemah berikutan tindakan pelabur memberi tumpuan terhadap mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum yang dijadualkan hari ini.

“Mesyuarat itu antara lainnya membincangkan topik seperti dasar keluaran minyak mentah yang dapat memaparkan beberapa petunjuk kepada pasaran global termasuk Malaysia yang juga antara negara pengeluar minyak dunia,” katanya.

Minyak mentah Brent yang juga penanda aras dunia, susut 0.84 peratus kepada US$61.56 setong.

Saham aktif menyaksikan Tatt Giap menokok setengah sen kepada 1.5 sen, Astro naik s​​​​​​embilan sen kepada RM1.38, Techbond meningkat 2.5 sen kepada 88.5 sen manakala Bumi Armada untung setengah sen kepada 16 sen.

Indeks FBM Emas Syariah merosot 32.87 mata kepada 11,653.01, FBM 70 turun 16.28 mata pada 13,549.76 dan Indeks FBM Ace susut 0.94 mata kepada 4,742.88.

Indeks FBM Emas juga berkurangan 27.58 mata kepada 11,626.13 dan Indeks FBMT 100 turun 27.12 mata kepada 11,501.82.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 79.52 mata kepada 6,825.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 5.08 mata kepada 17,452.73 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.79 mata kepada 170.66.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :