NASIONAL

1MDB: Najib ke SPRM bantu siasatan

PUTRAJAYA, 6 DIS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan pada laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau tiba kira-kira jam 10.30 pagi tanpa disedari media yang menunggu di pintu utama bangunan suruhanjaya itu, dengan kehadirannya dimaklumkan jurucakap SPRM.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan Najib didakwa mengetahui perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan serta membantu siasatan.

Semalam, SPRM memanggil bekas Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang hadir buat kali kedua selepas memberi keterangan, pada 26 November lalu.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :