NASIONAL

Foto bersejarah peralihan kuasa dilelong RM1.22 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 10 DIS: Enam foto detik bersejarah yang menampilkan aksi pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) ketika melalui fasa peralihan kuasa berjaya dilelong dengan harga RM1.22 juta, dalam tempoh kira-kira dua jam.

Lelongan bagi mengisi dana PAKATAN itu dibuat pada majlis makan malam amal yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, malam tadi.

Bidaan tertinggi dicatatkan melalui foto yang memaparkan peristiwa sejurus sebelum sidang media pertama diadakan sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia, pada 10 Mei lalu.

Foto yang diambil di Hotel Sheraton, Petaling Jaya itu dibida dengan harga RM500,000 oleh seorang ahli perniagaan yang hadir, pada majlis itu.

Foto itu menyaksikan barisan pimpinan PAKATAN antaranya Presiden KEADILAN ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan beberapa pimpinan lain.

Foto hari pertama Dr Mahathir memulakan tugas rasmi di Pejabat Perdana Menteri, pada 23 Mei lalu pula berjaya dilelong dengan harga RM350,000.

Manakala foto Wan Azizah dilelong pada harga RM150,000, foto Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM110,000) dan foto memaparkan Guan Eng bersama bapanya, Lim Kit Siang dilelong pada harga RM100,000.

Kutipan lelongan itu menjadikan jumlah keseluruhan kutipan malam tadi mencecah RM2.885 juta.

Sementara itu, ketika menyentuh acara lelongan itu, Dr Mahathir dalam ucapannya mengingatkan pembida berjaya supaya tidak mengharapkan balasan daripada kerajaan.

“Minta maaf tiada keistimewaan buat anda dan kalau mahu sesuatu, anda kena bersaing. Jika anda beri harga terbaik, anda akan menang.

“Tiada lagi ‘cash is king’ kerana kita dipilih kerana kita bersih, jangan terbabit dengan rasuah,” katanya.


Pengarang :