BERITA UTAMASELANGOR

HFMD: Ibu bapa digesa tingkat kawalan kebersihan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 28 DIS: Semua pihak terutama ibu bapa dan pengasuh perlu menitik beratkan aspek kebersihan anak dalam usaha mengawal penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata,
walaupun belum ada vaksin yang mampu mencegah jangkitan HFMD, namun penyebaran virus berkenaan boleh dikawal jika membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian.

“Amalan paling baik adalah membasuh tangan menggunakan air dan sabun serta mengikut tujuh langkah disaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain boleh menggunakan cecair ‘hand sanitiser’ yang mengandungi 95 peratus ethanol.

“Saya menekankan bahawa penyakit ini boleh dicegah walaupun komplikasi jarang serius tetapi boleh berlaku jika langkah pencegahan tidak dibuat dari awal, kalau berlaku kematian ekoran penyakit ini, ia adalah kematian yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Selangor 2018 peringkat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPKj, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar; Timbalan Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain dan Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Sarah Nabila Zulkifli.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan sebanyak 4,200 kes HFMD direkodkan di daerah Hulu Langat, sejak 1 Januari hingga semalam.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 30 peratus berbanding 1,370 kes, pada tahun lalu dengan 90 peratus penularan penyakit berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga enam tahun, manakala selebihnya membabitkan kanak-kanak sekolah rendah.

“Ia ekoran jangkitan virus, khususnya jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 kerana apabila satu ‘strain’ naik, secara automatik menjurus kepada peningkatan kes penyakit HFMD ini.

“HFMD menular ekoran pergaulan rapat kanak-kanak di rumah taska, tadika atau pengasuh melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur dan najis penghidapnya,” katanya.

Terdahulu, KKM mengesahkan dua kes kematian ekoran HFMD di Sarawak dan Pulau Pinang, membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan serta bayi berusia 17 bulan.


Pengarang :