Malaysia bakal ada kampus cawangan universiti Jepun pertama di luar negara | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Malaysia bakal ada kampus cawangan universiti Jepun pertama di luar negara

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kampus cawangan universiti Jepun, yang pertama di luar negara, besar kemungkinan diwujudkan di Malaysia, kata Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa yang membuat pendedahan itu hari ini.

Beliau berkata berdasarkan polisi, universiti Jepun tidak pernah membuka kampus cawangan di luar negara tetapi Kementerian Pendidikan Jepun baru-baru ini menukar dasarnya, yang diilhamkan oleh permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kementerian Pendidikan kami memutuskan untuk memenuhi permintaan Tun Dr Mahathir dan telah pun meminda peraturannya untuk membenarkan universiti Jepun ditubuhkan di luar negara,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.


Miyagawa berkata kementerian itu telah memaklumkan beberapa universiti di Jepun dan respons setakat ini sangat positif dan paling positif diterima daripada Universiti Tsukuba.

“Terdapat beberapa lagi universiti tetapi Universiti Tsukuba kini berada di barisan hadapan. Universiti milik negara ini adalah antara universiti Jepun yang tertua dan ia melebarkan fungsinya merangkumi bidang penyelidikan di Jepun, yang turut memperoleh penghargaan Hadiah Nobel,” tambah beliau.

Miyagawa berkata isu pertama yang harus diatasi sebelum ia dapat direalisasikan berhubung status universiti, yang adalah sebuah institusi, dijalankan dengan bantuan subsidi yang besar oleh kerajaan.

“Kerajaan Jepun mengekalkan dasar dengan meletakkan yuran yang berpatutan untuk semua universiti milik kerajaan dengan menawarkan peluang yang sama kepada keluarga kaya dan miskin untuk memilih universiti yang terbaik untuk pelajar mereka.

“Jadi masalah serius yang kami hadapi sekarang ialah walaupun Universiti Tsukuba berminat untuk menubuhkan kampus cawangan di Malaysia, tetapi mereka memerlukan tawaran daripada sektor awam atau swasta Malaysia untuk sediakan bangunan dan kemudahan dalaman, sekurang-kurangnya pada awal tahun,” kata Duta Jepun itu.

Isu lain ialah mengenai ketidakpastian berapa ramai pelajar Malaysia atau di Asia Tenggara yang akan memasuki universiti itu dan sama ada biasiswa akan ditawarkan, jika yuran dinaikkan. Sebelum universiti mewujudkan kampus cawangan di luar negara ia harus mengatasi masalah ini terlebih dahulu.

Beliau berkata ini memerlukan kerjasama dengan kerajaan Malaysia, dan beliau telah berusaha untuk menggerakkannya bagi merealisasikan permintaan Perdana Menteri.

Menceritakan latar belakang kepada perubahan hubungan Malaysia-Jepun ini, Miyagawa berkata apabila Dr Mahathir melawat Jepun pada Jun, hampir sebulan selepas mengambil alih jawatan, beliau bercakap mengenai rancangan untuk memulihkan dan memberi nafas baharu Dasar Pandang ke Timur yang beliau perkenalkan ketika menjadi Perdana Menteri pada kali pertama, 1980-an.

Perdana Menteri berkata beliau melihat kemungkinan permintaan yang tinggi dalam kalangan anak muda Malaysia untuk belajar di institusi pendidikan tinggi Jepun dan ini tentunya sangat mahal.

Jadi timbul idea, untuk meningkatkan Dasar Pandang ke Timur agar pelajar yang menuntut di Jepun dan Malaysia dapat mengurangkan kos dengan mempelawa universiti Jepun menubuhkan kampus cawangan di Malaysia.

Dr Mahathir adalah penyokong kuat rakyat Malaysia yang ingin mempelajari nilai-nilai dan etika Jepun untuk mengukuhkan keupayaan membina negara.

Miyagawa berkata di bawah Dasar Pandang ke Timur, sekurang-kurangnya 16,000 warga Malaysia menuntut di Jepun dengan biasiswa kerajaan.
Bagaimanapun terdapat ramai lagi pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun atas perbelanjaan sendiri dan menambah beliau telah bertemu ramai alumni yang telah melebarkan sayap dan menyumbang untuk pembangunan bangsa Malaysia.

“Ini memberikan kami kebanggaan dan penghormatan. Malaysia telah pun berkembang dan membangun daripada pergantungan kepada ekonomi sumber kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan dan teknologi.

“Dasar Pandang ke Timur mulai sekarang harus memberi tumpuan kepada teknologi dan perkhidmatan canggih yang telah lama diamalkan di Jepun untuk dipindahkan kepada usahawan muda Malaysia.

Pemindahan teknologi dan pembangunan sumber manusia telah lama menjadi dasar jangka panjang Jepun dalam mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next