PBTSELANGOR

MPAJ minta kerjasama penduduk Ukay Perdana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 26 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meminta penduduk di kawasan perumahan Ukay Perdana supaya tidak menghalang kerja pembinaan rumah teres berhampiran cerun bukit, di Jalan UP3, di sini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, kerjasama penduduk amat diperlukan memandangkan projek itu sudah mendapat kelulusan awal sebelum ini melalui kaedah pelaksanaan penstabilan cerun yang dipersetujui konsultan.

Katanya, pembinaan projek berkenaan juga sudah memasuki fasa ketiga, iaitu peringkat terakhir membabitkan pembinaan lebih 100 unit rumah.

“Buat masa ini, kontraktor sedang mempergiat kerja penstabilan cerun dan kita menjangkakan lebih selamat kerana seandainya cerun itu tidak dibuat ‘treatment’ atau penstabilan, kemungkinan lebih berbahaya.

“Tetapi penduduk masih beranggapan ia membahayakan keselamatan mereka sedangkan pelaksanaan di tapak berkenaan adalah untuk memberi lebih kestabilan terhadap cerun yang tiada ‘treatment’ itu.

“Saya berharap dengan taklimat dan pendedahan diberikan kepada penduduk, mereka boleh memberi kerjasama untuk mempercepatkan kerja pembinaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, Bil. 12/2018, di Bilik Mesyuarat 1, di sini, pada 24 Disember lalu.

Terdahulu, seramai 2,000 penduduk di kawasan perumahan terbabit melakukan perhimpunan solidariti bantahan projek pembinaan rumah teres dua tingkat di kawasan cerun bukit berhampiran rumah mereka, awal bulan lalu.

Bantahan itu susulan projek perumahan di kawasan cerun bukit dikhuatiri akan mengancam keselamatan mereka.

Malah, penduduk turut mendakwa sepanjang projek itu dijalankan, banyak masalah berlaku seperti kejadian paip pecah, bekalan elektrik terputus dan atap terbang akibat penebangan pokok.


Pengarang :