EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan aktiviti pengambilan untung

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas indeks penanda aras itu ditutup mencecah paras harian tertinggi pada Isnin menjelang perayaan Krismas.

Bursa tempatan itu turut mendapat tempias aliran penyusutan indeks pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang mengalami kerugian ketara sehari sebelum Krismas.

Pada 9.06 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.26 mata kepada 1,671.56 daripada 1,683.82 sewaktu ditutup pada Isnin.

Indeks itu juga dibuka 15.13 mata lebih rendah kepada 1,668.69.

Sentimen pasaran juga kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 245 berbanding 39 manakala 110 kaunter lain tidak berubah, 1,491 tidak diniagakan dan 35 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 101.98 juta saham bernilai RM37.18 juta.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi tiga sen kepada RM9.23, Public Bank turun 14 sen kepada RM24.64, Tenaga susut 22 sen kepada RM13.78, Petronas Chemicals berkurangan lapan sen kepada RM9.15 dan CIMB kehilangan dua sen kepada RM5.66.

Tenaga dan Public Bank juga muncul antara kaunter paling rugi di Bursa Malaysia sewaktu pasaran dibuka.

Bagi saham aktif, Hubline, Sapura Energy dan Vicocom tidak berubah iaitu masing-masing pada empat sen, 31.5 sen dan dua sen, Red Sena pula menokok setengah sen kepada 49.5 sen manakala Hibiscus susut 1.5 sen kepada 78.5 sen.

Hong Leong Bank merupakan kaunter paling rugi apabila susut 24 sen kepada RM20.04 manakala Gopeng muncul kaunter paling untung dengan menokok 10 sen kepada 65 sen.

Indeks FBM Emas susut 80.09 mata kepada 11,378.16, Indeks FBMT 100 turun 77.78 mata kepada 11,297.39, FBM 70 kehilangan 67.02 mata kepada 12,834.89 manakala Indeks FBM Ace berkurangan 37.63 mata kepada 4,188.96.

Indeks FBM Emas Shariah pula merosot 100.20 mata kepada 11,359.18.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 76.89 mata kepada 17,071.18, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.83 mata kepada 164.96 dan Indeks Perladangan pula 36.02 mata lebih rendah kepada 6,745.21.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :