SUKANKINI

Pendaftaran pelumba OMR Cub Prix kini dibuka

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 DIS: Pendaftaran bagi sesi pemilihan pelumba Kategori Satu Pengeluar (OMR) bagi musim 2019 kini dibuka untuk remaja berbakat dan berminat menceburi bidang perlumbaan secara profesional.

Ia berita baik buat golongan itu menjelang perlumbaan terakhir saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor, 15 dan 16 Disember ini.

Sama seperti musim lalu, perlumbaan anjuran bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd itu terus memainkan peranan penting dalam melahirkan pelumba tempatan berbakat di peringkat pembangunan.

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg berkata, sebanyak 60 slot pelumba kategori itu tersedia untuk musim 2019 dengan pertambahan 20 slot perlumbaan kedua dianjurkan Hong Leong Yamaha.

“Setiap tahun, perlumbaan kategori ini terus memperlihatkan muka baharu yang menjadi pelapis kepada generasi pelumba hari ini.

“Perlumbaan satu pengeluar ini mempunyai sejarah melahir dan mengembangkan bakat ramai pelumba terbaik negara ketika ini,” katanya.

Antara bakat yang lahir dari program itu termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah, Mohd Ramdan Rosli, Adam Norrodin, Kasma Daniel Kasmayuddin yang memulakan karier dalam siri perlumbaan Yamaha, Khairul Idham Pawi bersama Honda.

Manakala Mohd Zulfahmi Khairuddin memulakan karier di dalam siri perlumbaan Junior GP pada 2007 dan ramai lagi.

Kepada remaja berusia 13 hingga 18 tahun yang berminat, pendaftaran boleh dibuat di laman http://malaysiancubprix.com/rider-search-2019/


Pengarang :