SELANGOR

RM3.2 juta sedia tong sampah besi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Penyediaan tong sampah besi akan diperluas dan diletakkan secara berpusat mengikut zon kutipan sampah yang dilaksanakan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) atau kontraktor lantikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sendiri.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, langkah itu dilihat dapat mengurangkan isu sampah longgok yang dibuang di tepi jalan seperti di jalan kampung tradisi, kampung bagan dan hotspot sampah.

“Walaubagaimanapun, penyediaan tong sampah terbabit akan diperluas secara berperingkat, bergantung kepada kemampuan peruntukan kewangan PBT masing-masing.

“Jumlah kos yang akan dibelanjakan untuk menyediakan tong sampah besi oleh PBT adalah RM 3.2 juta,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Sementara itu, katanya, bagi membendung kegiatan pembuangan sampah industri di Majlis Perbandaran Klang, setiap kilang yang ingin memperbaharui lesen disyaratkan supaya melantik kontraktor sisa industri.

“Manakala bagi kilang yang tidak mempunyai lesen, tindakan penguat kuasaan akan dikenakan,” katanya.


Pengarang :