SELANGOR

RM400,000 naik taraf Surau Sungai Pusu

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 14 DIS: Dewan Undangan Negeri Gombak Setia menerima peruntukan RM400,000 bagi menaik taraf Surau Sungai Pusu, di sini.

Ahli Dewan Negerinya, Hilman Idham berkata, peruntukan itu adalah kelulusan daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Ahli Parlimen Gombak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin kerana sudi menghulurkan bantuan membantu menaik taraf surau terbabit.

“Saya optimis penduduk dapat mengimarahkan surau ini selepas kerja menaik taraf dan baik pulih siap sepenuhnya pada masa akan datang, sekali gus dapat dihidupkan sebagai tempat ibadat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perdana Program Jelajah Kembali Ke Sekolah, di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Soffan Affendi Aminudin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman.

Hilman berkata, beliau gembira kerana akhirnya cadangan untuk menaik taraf surau terbabit mendapat persetujuan Ahli Parlimen Gombak.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyerahkan bantuan persekolahan bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat MBI dengan peruntukan RM1.7 juta bagi membantu 8,400 orang seluruh Sealngor yang bakal memulakan sesi persekolahan tahun depan.


Pengarang :