PENDIDIKANSELANGOR

Misi CSR Go Green berjaya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 14 DIS: Menyedari kepentingan pemeliharaan dan penghijauan landskap alam, seramai 72 penuntut  Universiti Selangor (UNISEL) berjaya melaksanakan misi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Go Green 2018, di Selangor Fruits Valley, di sini, semalam.

Projek akhir penuntut jurusan Diploma Komunikasi Media, Jabatan Komunikasi (Fakulti Komunikasi, Seni Visual & Pengkomputeran) universiti itu bertujuan memenuhi keperluan silibus Pengurusan Acara (JMD 3224).

Ketua Projek, Muhammad Haiqal Azim Azman berkata, pendekatan itu diambil sebagai medium mendekatkan diri pelajar bersama masyarakat, khususnya dalam menjamin kelestarian dan kehijauan alam sekitar.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami memastikan keindahan alam sekitar dijaga sebaiknya demi kesejahteraan kehidupan, selain turut membantu kami untuk lebih memahami peranan dalam sesebuah komuniti.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk menghargai khazanah alam melalui aktiviti penanaman pokok dan mengindahkan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan Fruits Valley ini,” katanya kepada SelangorKini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Komunikasi, Suzie Yanti Muhamad Lagis; Ketua Program Jabatan Komunikasi, Faizul Mohd Noh dan Penasihat Program, Nor Zakiah Ismail.

Sepanjang program berlangsung, peserta dibahagikan kepada lima kumpulan bagi menjalankan beberapa aktiviti berkebun, membina sangkar arnab, membersihkan trem trak dan mengindahkan ‘Fruits Valley’.

Mengulas lanjut, Haiqal berkata, pihak pengurusan Agro Pelancongan Selangor Fruits Valley turut memberi komitmen dan layanan baik sepanjang program selaras memastikan matlamat penganjuran dapat dicapai dengan jayanya.

“Mereka banyak membantu kami menyediakan segala kemudahan logistik seperti peralatan berkebun dan membawa peserta mengelilingi kawasan sekitar dengan menaiki monotrem,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Program, Nor Zakiah Ismail berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan ahli jawatankuasa ‘CSR Go Green’ kerana program sedemikian mendorong mahasiswa untuk lebih memahami rasa tanggungjawab melalui kerja sukarelawan.

“Program seperti ini perlu diteruskan untuk kemaslahatan masa depan pelajar dalam membentuk peribadi dan moral yang seimbang seiring matlamat pendidikan negara.

“Saya optimis program CSR ini dijalankan di Kuala Selangor pada masa akan datang dengan penglibatan komuniti lebih besar dengan pendekatan yang berbeza,” katanya.


Pengarang :