BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor hadiri majlis bacaan Yasin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Ulangtahun Keputeraan ke-73 baginda, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Baginda tiba di perkarangan masjid sekitar jam 12.25 tengahari disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid.

Mohd Tamyes mengetuai bacaan Yasin dan tahlil doa selamat yang berakhir sekitar jam 1.05 petang disusuli solat Jumaat.

Imam Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya selaku khatib bertugas menyampaikan khutbah bertajuk ‘Perpaduan Ummah Asas Kestabilan Institusi Raja’.

Khatib dalam khutbahnya mengingatkan semua pihak supaya bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka serta saling menghormati untuk mengekalkan konsep perpaduan ummah, seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sesungguhnya perpaduan boleh mendatangkan banyak manfaat. Peribahasa Melayu mengatakan dengan perpaduan, gunung yang tinggi dapat diratakan, begitu juga bersatu teguh bercerai roboh dan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

“Ini semua menunjukkan perpaduan menyebabkan kerja yang berat menjadi ringan dan masalah yang rumit berjaya dirungkai,” katanya.


Pengarang :