BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor kesal dikaitkan dengan himpunan ICERD

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap kenyataan yang tersebar kononnya baginda akan turun ke himpunan ICERD, esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini berkata, kenyataan yang mengaitkan Sultan Sharafuddin boleh mengelirukan masyarakat.

“Sultan Selangor sebagai Sultan yang memerintah Selangor tidak seharusnya dibabitkan dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan mana-mana pihak.

“Justeru, baginda menitahkan supaya pihak berkenaan tidak membabitkan nama baginda lagi di mana-mana perhimpunan yang dianjurkan parti poliltik atau badan bukan kerajaan,” katanya.

Katanya, Sultan Selangor turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan berita palsu seumpamanya.

Sebelum ini, tular di media sosial dan Whatsapp yang memaklumkan Sultan Johor, pemangku Sultan Pahang dan Sultan Selangor akan turun, pada himpunan ICERD bersama anak Melayu Bumiputera.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meluluskan perhimpunan kesyukuran ICERD, Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad, bermula jam 2 hingga 6 petang.

 


Pengarang :