GLOBAL

Tsunami Indonesia ancam spesies badak sumbu Jawa

JAKARTA 29 DIS: Pihak berkuasa pemuliharaan haiwan liar berkata hari ini, bencana tsunami melanda Indonesia mencetuskan kebimbangan bahawa satu lagi gelombang dahsyat mungkin akan membunuh puluhan badak sumbu Jawa yang masih hidup liar di negara itu.

Dipercayai terdapat kurang dari 70 spesies terancam berada dalam taman negara yang terletak tidak jauh dari gunung berapi sehingga mencetuskan gelombang dahsyat, Sabtu lalu.

Setakat ini, tiada haiwan yang direkodkan terbunuh dalam bencana itu sehingga menyebabkan 400 orang terkorban, tetapi pihak berkuasa memberi amaran satu lagi gelombang dahsyat mungkin membadai di wilayah terjejas baru-baru ini.

Justeru, ia memberi tekanan kepada pakar-pakar pemuliharaan haiwan di Taman Negara Ujung Kulon, bagi mencari pelan jangka panjang untuk mencari habitat kedua badak sumbu itu.

“Adalah menjadi tugas kita untuk bekerja lebih keras untuk mencari habitat kedua kerana bimbang bencana mungkin berlaku bila-bila masa,” kata Ketua Taman Negara, Mamat Rahmat memberitahu AFP.

“Kami sangat bertuah kerana tsunami tidak memberi kesan terhadap badak sumbu Jawa. Tetapi ancaman tetap ada dan kami perlu bertindak sewajarnya,” kata Ketua Yayasan Pemuliharaan Badak Sumbu Indonesia, Widodo Ramono.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :