SELANGOR

MPSJ yakin Subang Jaya lebih bersih dikemdali KDEBWM

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 28 DIS : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yakin seluruh kawasan pentadbirannya akan lebih bersih apabila KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengambil alih pengurusan sisa pepejal mulai awal tahun depan.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kawasan perkhidmatan di bawah seliaan KDEBWM nanti adalah meliputi perumahan, komersial, industri dan kampung tradisi.

“Saya percaya keputusan Kerajaan Negeri mengarahkan KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor adalah satu keputusan tepat.

“Malah, kecekapan KDEBWM selama dua tahun menguruskan sisa pepejal terbukti berkesan apabila berjaya dinobatkan sebagai ‘2018 Malaysia Smart Waste Solution Company Of The Year’ oleh firma Perunding dan Penyelidikan Antarabangsa Frost & Sullivan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll Bagi Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam di MPSJ di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan perasmian oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Pada masa sama, Noraini berkata, pihaknya yakin MPSJ adalah PBT paling bersih berbanding yang lain di Selangor.

“Namun, baru-baru ini, saya baru sahaja pulang dari Singapura, ia ternyata MPSJ belum setanding seperti negara terbabit.

“Bagaimanapun, saya optimis KDEBWM mampu menyelesaikan segala aduan yang wujud di MPSJ selama ini sekali gus menjadikan bandar ini lebih bersih dan indah,” katanya.

Katanya, kumpulan ‘whatsApp’ semua 24 zon Jawatankuasa Penduduk akan diwujudkan KDEBWM untuk makluman perkhidmatan dan maklum balas aduan serta pemantauan.

Terdahulu, sebanyak 65 kompaktor dan 62 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) akan disediakan di 127 kawasan sekitar pentadbiran MPSJ mulai esok dan bakal beroperasi pada 1 Januari tahun depan.


Pengarang :