NASIONAL

Azmin, Guan Eng laksana tugas dengan baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali melaksanakan tugas dengan baik selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui Putrajaya.

Dalam wawancaranya bersama Sin Chew Daily, Mahathir berkata, Mohamed Azmin bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berjaya merangka Belanjawan Negara 2019 dengan baik meskipun PAKATAN mewarisi kewangan yang bermasalah ditinggalkan Barisan Nasional.

“Melihat keadaan semasa ketika ini, saya melihat kedua-duanya melakukannya dengan baik.

“Kami menjangkakan Belanjawan itu akan mempunyai defisit yang sangat besar, tetapi ia tidak sebesar yang disangka.

“PAKATAN melakukan segala-galanya untuk mengurangkan hutang kerajaan sejak mengambil alih,” katanya.

Terdahulu, Mahathir memecahkan tradisi dengan melantik Guan Eng sebagai Menteri Kewangan berbangsa Cina selepas lebih 40 tahun.

Bagi mengimbangi hal kewangan dan ekonomi, Mahathir turut melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Jika kita membiarkan Guan Eng bertanggungjawab terhadap segala hal (kewangan dan urusan ekonomi), orang Melayu tidak akan gembira, tetapi jika kita membiarkan Azmin menjaga segala-galanya, Guan Eng tidak akan gembira,” katanya.

 

 


Pengarang :