SELANGOR

Bayaran pinjaman HIJRAH tertangguh selesai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN: Kelewatan pembayaran pembiayaan pinjaman kepada usahawan Selangor di bawah skim mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH), sudah selesai sepenuhnya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, isu kelewatan berpunca daripada permohonan program skim itu yang berlipat kali ganda sehingga HIJRAH terpaksa mengatur semula proses pembiayaan terbabit.

“Pembayaran tertangguh ini sebenarnya tidak disengajakan, namun ia berpunca daripada peningkatan jumlah permohonan yang agak luar biasa terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Oleh sebab sambutan memberangsangkan ini, kita terpaksa mengatur semula agihan pembiayaan pinjaman sehingga masuk tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua pemohon program skim mikrokredit yang terlibat dengan isu kelewatan itu sudah pun menerima pembiayaan pinjaman masing-masing pada hari ini.

Pada 7 Januari lalu, kira-kira 15 individu mewakili 107 usahawan Melayu cawangan Petaling Jaya Utara menuntut Kerajaan Negeri menyegerakan pembayaran pinjaman HIJRAH.

Susulan itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan HIJRAH, Dato’ Mansor Othman memberi jaminan perkara tersebut akan diselesaikan penghujung bulan ini.


Pengarang :