NASIONAL

Israel tiada hak bercakap nilai moral

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan kenyataan jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel sebagai tidak boleh diterima dan meloyakan.

Beliau berkata, kenyataan dibuat itu jelas satu tuduhan bahawa Malaysia tidak mempunyai semangat Olimpik dan melabel Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad anti-Yahudi.

“Israel tiada hak untuk bercakap tentang nilai moral apabila mereka sendiri adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata, Israel tidak pernah mengendahkan hak tidak terpisah rakyat Palestin.

Malah, katanya, negara itu melaksanakan dasar dan amalan tidak berperikemanusiaan yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa biarpun lebih separuh abad.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia akan terus menjadi penyokong tegar perjuangan rakyat Palestin yang disokong oleh komitmen jangka panjangnya ke arah mengembalikan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia kekal dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Oleh kerana itu, jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon mengecam larangan penyertaan atlet Israel dalam acara sukan antarabangsa dianjurkan Malaysia dan menyifatkan keputusan itu diinspirasikan oleh sikap anti-Yahudi melampau Dr Mahathir.


Pengarang :