SELANGOR

Klang catat 960 kes denggi dua minggu pertama

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 16 JAN: Daerah Klang merekodkan sejumlah 960 kes denggi pada dua minggu pertama awal tahun ini berbanding hanya 203 kes tempoh yang sama tahun lalu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, jumlah peningkatan itu tambah membimbangkan apabila membabitkan dua kematian berlaku di Flat Seri Bahtera, Pulau Indah, di sini.

“Kes pertama membabitkan wanita berusia 39 tahun pada akhir Disember manakala awal Januari baru-baru ini seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

“Tahun lalu, sejumlah 101 kes dilaporkan berlaku pada minggu pertama dan 102 kes minggu kedua berbanding 413 kes minggu pertama dan 547 kes minggu kedua bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir bertemu Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, di Bandar Botanik, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Charles berkata, isu itu perlu ditangani secara serius sebelum ia menjadi bertambah parah memandangkan Klang adalah kawasan kedua tertinggi kes denggi selepas Petaling.

Katanya, beliau menggesa Klang diisytiharkan sebagai lokasi kecemasan untuk wabak denggi berikutan peningkatan kes sehingga melibatkan kematian.

“Saya mahu menegaskan kepada PKD Klang, Majlis Perbandaran Klang serta penduduk harus bekerjasama membanteras wabak berkenaan daripada terus merebak.

“Malah, saya akan mengadakan pertemuan dengan ketua agama, persatuan penduduk dan pengilang untuk mereka membuat tindakan sewajarnya dalam membanteras wabak denggi,” katanya.


Pengarang :