NASIONAL

Rapid KL sedia dua perkhidmatan sempena Thaipusam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Rapid Bus Sdn Bhd akan menyediakan dua perkhidmatan khas untuk kemudahan pengguna mengunjungi Batu Caves, sempena sambutan Thaipusam, pada 21 Januari ini.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan berkata, perkhidmatan selama dua hari bermula pada 20 hingga 21 Januari itu bagi menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengelakkan kesesakan di kawasan terbabit.

“Sebanyak 18 buah bas disediakan untuk laluan dari Hab Bas Pasar Seni ke Batu Caves melalui Jalan Ipoh dan Jalan Kuching.

“Manakala dua bas disediakan dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves melalui jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan kekerapan masing-masing 15 minit dan 30 minit,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, kadar tambang sehala dikenakan adalah RM3 bagi laluan dari Pasar Seni dan RM2 dari stesen LRT Gombak, manakala kaedah pembayaran adalah tunai sahaja.

“Waktu perkhidmatan bagi dua perkhidmatan khas ini bermula dari jam 5 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan RapidKL di 03-7885 2585 atau berhubung dengan kami melalui saluran media sosial Rapid KL.


Pengarang :