PBTSELANGOR

Lebih 28,000 perbaharui lesen perniagaan MPSJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 30 JAN: Seramai 28,722 pemilik premis perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat pembaharuan lesen perniagaan, bagi 2019.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, angka itu menunjukkan peningkatan 10 peratus atau 2,818, berbanding 26,904 pemegang lesen yang memperbaharui lesen tahun lalu.

“Komitmen komuniti perniagaan, khususnya di MPSJ memberi impak positif terhadap jumlah kutipan hasil lesen, pada 2018 iaitu RM22.8 juta.

“Malah, senario ini menggambarkan bahawa komuniti peniaga MPSJ peka dan patuh terhadap pelaksanaan undang-undang serta dasar ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.1/2019, di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga tidak lagi menghantar notis makluman pembaharuan lesen seperti tahun sebelumnya, bermula tahun ini.

Katanya, hal itu kerana pembaharuan lesen perniagaan sebelum tamat tempoh adalah tanggungjawab pemegang lesen itu sendiri.

“Lesen perniagaan boleh diperbaharui dalam tempoh tiga bulan awal sebelum tamat tempoh sah lesen.

“Bagaimanapun, kegagalan memperbaharui lesen boleh menyebabkan pemilik perniagaan diambil tindakan undang-undang dan penguat kuasaan tegas,” katanya.


Pengarang :