SELANGOR

MB kembali ketuai mesyuarat pembangunan negeri JPM

OLEH NAZLI IBRAHIM

BATU CAVES, 21 JAN: Selepas 10 tahun disisihkan, Menteri Besar Selangor kembali mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Negeri yang sebelum ini dikuasai Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jawatankuasa itu akan membincangkan jumlah dana yang wajar disalurkan Kerajaan Persekutuan dan menyelaraskan rancangan pembangunan di Selangor.

“Ini adalah antara kebaikan apabila ada keseimbangan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan di mana sebelum ini Kerajaan Persekutuan melencongkan dana pembangunan kepada apa yang dipanggil Jawatankuasa Pembangunan di bawah JPM dan mereka tidak memanggil Kerajaan Negeri untuk merancang pembangunan.

“Maka, banyak pelan pembangunan kita tidak seimbang, tidak selari kerana tiada kordinasi namun tidak lama lagi dalam tempoh 10 tahun Menteri Besar Selangpr akan hadiri semula mesyuarat Pembangunan Persekutuan dan semoga kita dapat seragamkan atau kordinasikan pelan pembangunan negeri dan Persekutuan, elakkan pertindihan dalam rancangan pembangunan dijalankan,” katanya.

Amirudin berkata demikian kepada media selepas menyerahkan sumbangan buah-buahan dan air minuman serta menyaksikan sambutan Thaipusam di perkarangan Kuil Subramaniam, Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, mesyuarat itu akan diadakan sama ada penghujung Januari atau pada awal Febuari ini.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM2.56 bilion di mana hampir menyamai peruntukan dalam Belanjawan Selangor sendiri.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan itu dirancang sebelah pihak sahaja tanpa kehadiran wakil Kerajaan Negeri khasnya Menteri Besar sendiri.

“Sebelum ini pun masuk, bukan saya kata tak ada langsung tetapi ia tidak disusun Kerajaan Negeri bersama Persekutuan.

“Ini bukan soal siapa buat dan siapa tak buat tetapi soal bagaimana kita menyusun kerana apabila rancangan berkodinasi, tiada tempat terlepas pandang di mana mungkin bagi Kerajaan Persekutuan di sini kita perlu fokus, bagi Kerajaan Negeri pula di sini perlu berikan fokus, kita dapat susun dengan lebih baik,” katanya.


Pengarang :