GLOBAL

Penutupan pentadbiran AS berterusan

WASHINGTON, 3 JAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi gambaran penutupan separa pentadbiran kerajaan negara itu mungkin berterusan sehingga hujung minggu ini.

Ia diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin kongres, semalam.

Memasuki hari ke-12 penutupan pentadbirannya, Trump dilihat masih berkeras dengan tuntutan dana AS$5 bilion (RM20.9 bilion) bagi membiayai pembinaan tembok, di sempadan Mexico.

Pemimpin kongres juga dijangka kembali ke Rumah Putih esok untuk menyambung rundingan.

Sebelum bertemu dengan pemimpin kongres, Trump berkata, penutupan itu akan berlarutan ‘selagi perlu’ ketika menuntut dana pembinaan tembok yang ditentang Demokrat.

“Ia mungkin berlarutan untuk jangka masa lama atau mungkin juga cepat,” kata Trump kepada pemberita semasa mesyuarat Kabinet semalam.

Permintaan Trump untuk membiayai pembinaan tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico mencetus penutupan pentadbiran AS yang menjejaskan kira-kira satu perempat daripada kerajaan persekutuan dan 800,000 kakitangan persekutuan.

*Reuters


Pengarang :