SUKANKINI

PKNS FC tidak tambah pemain tempatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: PKNS FC tidak berhasrat menambah jumlah pemain tempatan dan akan menguji tiga pemain import untuk melengkapkan kuota lima pemain yang dibenarkan, bagi menghadapi musim 2019.

Ketua Jurulatihnya, Datuk K Rajagobal berkata, pihaknya enggan terburu-buru dalam melengkapkan jumlah pemain, sebaliknya mementingkan aspek kualiti buat pasukan dalam sesi pemilihan.

“Kami tidak mahu terburu-buru dan perlu membuat keputusan dengan teliti.

“Pemain yang kami tandatangani mesti mempunyai ciri yang dapat memperkuatkan pasukan,” katanya dipetik menerusi Goal.com.

Antara pemain baharu yang menyertai PKNS FC musim ini adalah Muhammad Akram Mahinan (Kedah), Nicholas Ryan Swirad (Melaka United), Tommy Mawat Bada (PJ Rangers), Muhammad Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Shafiq Shaharuddin (Kelantan), Mohamad Fandi Othman (Felcra FC) serta Mohd Farhan Abu Bakar (Kedah).

Sebelum ini, The Red Ants mengekalkan 11 pemain musim lalu antaranya dua penjaga gol Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin (23 tahun) dan Tauffiq Ar Rasyid Johar (22 tahun) bersama empat pemain pertahanan Rodney Calvin Akwensivie (22 tahun), Mohamad Qayyum Marjoni Sabil (24 tahun), Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim (27 tahun) serta pemain senior, P Gunalan (37 tahun).

Barisan tengah pula menyaksikan tiga pemain dikekalkan iaitu K Gurusamy (29 tahun), Mohd Faizat Mohamad Ghazli (23 tahun) dan Muhammad Alif Haikal Mohd Sabri (23 tahun) sementara hanya Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (21 tahun) kekal selaku penyerang PKNS FC.

Bagi kuota pemain import, PKNS FC mengekalkan khidmat pemain berusia 21 tahun, Romel Morales Ramírez di samping menandatangani penyerang import baharu iaitu bekas pemain MIFA, Kpah Sean Sherman.

Dalam perkembangan lain, PKNS FC akan mengadakan lima lagi perlawanan persahabatan termasuk kunjungan ke Singapura sebelum musim 2019 bermula Februari hadapan.


Pengarang :