SELANGOR

Sumbang 500 beg sekolah, MyPerintis bantu pelajar kurang mampu

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 4 JAN : Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis) menyumbangkan 500 beg sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan di 16 sekolah terpilih sekitar Petaling Utama dan Petaling Perdana, hari ini.

Pengasasnya, Dato’ Lawrence Low berkata, sumbangan kali pertama untuk tahun ini adalah hasil kolaborasi bersama Pasaraya Besar Mydin.

“Ramai di antara kita tidak terfikir sebenarnya ada dalam kalangan kanak-kanak tidak mampu untuk mempunyai beg sekolah sendiri.

“Oleh itu, MyPerintis komited melaksanakan inisiatif ini yang akan mendorong pelajar untuk lebih bersemangat memulakan sesi persekolahan apabila menerima sumbangan ini,” katanya kepada media selepas Majlis Pemberian Beg Sekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Megah di sini.

Sumbangan itu disempurnakan beliau bersama Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Utama, Azmi Misron dan Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Ghafar Bakar.

Beliau berkata, MyPerintis komited menjalankan pelbagai program berbentuk sumbangan bertujuan meringankan beban golongan sasaran.

“MyPerintis juga akan menjalankan program intervensi sepanjang tahun ini dengan memberi beg dan kasut sekolah kepada kanak-kanak memerlukan.

“Kami optimis kedua-dua sektor awam dan swasta akan menyokong sepenuhnya inisiatif ini demi kebaikan golongan kurang berkemampuan,” katanya.

MyPerintis adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 30 Jun 2015 bertujuan menggalakkan pemerkasaan remaja.

Pertubuhan itu juga bekerjasama dengan pemimpin negara, pakar industri, tokoh awam terkemuka dan individu inspirasi untuk menjadi platform yang dipercayai dan paling berkesan mempersiapkan serta membentuk belia menjadi perintis bertanggungjawab, bertimbang rasa juga yakin dalam bidang kehidupan.


Pengarang :