NASIONAL

Undi awal PRK Cameron Highlands babitkan 247 pengundi bermula

TANAH RATA, 22 JAN: Seramai 247 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dijangka keluar mengundi hari ini di dua pusat pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata daripada jumlah itu seramai 232 orang mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Brinchang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata yang dibuka bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang ini.

Sementara itu, bagi DUN Jelai seramai 15 lagi pengundi awal akan mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Sungai Koyan sebelum pusat pengundian itu ditutup pada jam 2 petang.

Proses pengundian awal akan disaksikan oleh ejen calon bertanding selain pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.

Selepas selesai proses pengundian peti-peti undi awal akan disimpan di balai polis sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah untuk penjumlahan rasmi pada hari pengundian 26 Januari ini.

Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.

PRK Cameron Highlands bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN), M Manogaran; Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta petani tempatan, Wong Seng Yee.

PRK ini adalah yang kelima setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tiga pilihan raya sebelum ini adalah melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

-BERNAMA


Pengarang :