SELANGOR

Warga emas terkejut terima ziarah MB

OLEH AFIX REDZUAN

JELAI, 21 JAN: Kehadiran Amirudin Shari secara santai mengejutkan seorang warga emas, Saedah Busu, 85, yang tidak menyangka dapat melihat Dato’ Menteri Besar secara berhadapan.

Ini kerana selama ini, beliau hanya melihat dari kaca televisyen dan berbesar hati menyambut kehadirannya.

“Selalu tengok kat TV (televisyen), hari ini dapat tengok depan-depan,” katanya.

Saedah yang tinggal bersama anaknya menghidapi sakit tua sejak empat tahun lalu.

Amirudin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor hari ini mengadakan aktiviti turun padang ke Felda Sungai Koyan 1 bagi membantu jentera kempen Pakatan Harapan (PAKATAN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.78 Cameron Highlands.

Beliau yang turut ditemani Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Selangor, Hee Loy Sian secara santai menunggang motosikal Yamaha Y150 mengelilingi kampung sambil menziarahi pengundi.

Terdahulu, beliau turut bertemu dengan seorang ibu tunggal, Haryanti Othman dan mendengar sendiri keluhan masalah diutarakan.

Ibu kepada empat anak dan bekerja sebagai pembantu kedai runcit turut meluahkan kegagalan mendapat bantuan daripada pihak bertanggungjawab tambahan mempunyai seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Rombongan Amirudin turut melawat Bilik Gerakan KEADILAN dan PAKATAN yang terletak di Felda Sungai Koyan 3.

 


Pengarang :