NASIONAL

KPM nafi dakwaan penerbitan buku DLP dijalan secara rundingan terus

PUTRAJAYA, 21 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menafikan dakwaan bahawa buku teks Program Dwibahasa (DLP) dilaksanakan secara rundingan terus sepenuhnya.

KPM dalam kenyataannya menjelaskan, perolehan buku teks DLP bagi kegunaan tahun ini dilaksanakan secara dua kaedah iaitu tender terbuka bagi buku teks DLP sekolah menengah dan rundingan terus bagi buku teks sekolah rendah.

Katany, penerbitan secara rundingan terus diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mata pelajaran Science Year 3 dan Mathematics Year 3 serta buku cetakan semula sebanyak 266,110 naskhah, selaras dengan keputusan Majlis Tindakan Negara 1974 yang menyatakan DBP bertanggungjawab untuk menerbitkan buku teks sekolah rendah.

“Penerbitan untuk buku DLP sekolah menengah iaitu Science Form 3 dan Mathematics Form 3 (108,680 naskhah) diuruskan penerbitannya secara tender terbuka oleh KPM,” katanya.

KPM berkata, kenyataan medianya pada 13 Januari lalu merujuk kepada kelulusan untuk KPM membuat rundingan terus dengan DBP bagi menerbitkan buku teks DLP sekolah rendah (baharu dan cetakan semula) seperti dalam surat kelulusan Kementerian Kewangan bertarikh 18 Sept 2018.

Katanya, bagi tujuan tender terbuka pula, iklan telah dikeluarkan di portal e-Perolehan seperti amalan biasa dan dijalankan secara telus.

Kenyataan itu juga menyatakan, penilaian membabitkan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penilaian Bahan, Jawatankuasa Penilaian Keupayaan Penerbit/Syarikat dan Jawatankuasa Penilaian Harga yang ditawarkan penender.

Katanya, semua markah yang diperoleh daripada ketiga-tiga jawatankuasa itu telah dipertimbangkan oleh Lembaga Perolehan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPM dan anggotanya terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya dan tiga setiausaha bahagian KPM.

“Semua proses tender terbabit telah dilaksanakan dengan telus dan berintegriti,” katanya.

Selain itu, KPM berkata, pihaknya juga sedang mengambil semua langkah yang dirasakan wajar dan perlu bagi membekalkan buku teks DLP sekolah menengah secepat mungkin.

Pada Jumaat lalu, Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mempersoalkan tindakan KPM tidak memberikan projek terbabit kepada penerbit yang bukan ahli persatuan itu dan dibuat secara rundingan terus, selain isu kelewatan buku itu diedarkan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :