SELANGOR

5 tekad Aiman untuk Semenyih

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEMENYIH, 27 FEB: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) di Semenyih, Muhammad Aiman Zainali, melancarkan lima tekad untuk membangunkan kawasan itu yang akan dilaksanakan selepas memenangi pilihan raya kecil.

Katanya, lima agenda itu adalah Semenyih lestari, iaitu memelihara dan memulihara ekosistem Semenyih sebagai kawasan hutan simpan tadahan air serta meningkatkan potensi eco-pelancongan Selangor.

Katanya, kedua adalah Semenyih selamat, iaitu memperkukuhkan peranan ikatan desa bagi memastikan keselamatan kampung dan taman perumahan supaya kadar jenayah domestik dapat diturunkan.

“Ketiga, Semenyih maju, iaitu memastikan pembangunan ekonomi di Semenyih, sekali gus memberi manfaat terus kepada rakyat Semenyih.

“Keempat, Semenyih sihat, iaitu menaik taraf klinik kesihatan dan mewujudkan Smart Semenyih Mobile Clinic supaya memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk Semenyih.

“Terakhir adalah Semenyih terhubung, iaitu meningkatkan kekerapan perkhidmatan Bas Smart Selangor dan menaik taraf terminal bas dan teksi di Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agenda Aiman4Semenyih, di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, berdasarkan hubungan baik bersama Kerajaan Negeri dan Pusat, beliau yakin lima tekad itu dapat dilaksanakan.

“Saya berbincang dengan Dato’ Menteri Besar, lima agenda ini dapat kita laksanakan dalam penggal ini selari dengan belanjawan Selangor,” katanya.


Pengarang :