EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini mendapat rangsangan daripada minat belian dalam saham wajaran tinggi seiring dengan prestasi positif di Wall Street pada Jumaat minggu lalu dan pasaran serantau lain, kata peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.32 mata kepada 1,694.85 daripada paras penutup 1,683.53 pada Jumaat.

Indeks itu dibuka 15.44 mata lebih tinggi kepada 1,698.97.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 146 berbanding 65, manakala 153 kaunter tidak berubah, 1,490 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 75.58 juta saham bernilai RM43.88 juta.

Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya pada Jumaat lalu berkata, Wall Street pada awalnya melonjak tinggi selepas pengumuman terbaharu data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan senarai gaji bukan ladangnya meningkat sebanyak 304,000 pekerjaan bulan lalu, jauh mengatasi jangkaan.

“Bagaimanapun, penganalisis berkata, angka itu mungkin dipengaruhi oleh penutupan sebahagian operasi kerajaan AS dan juga menyatakan kenaikan senarai gaji pada Disember disemak semula menurun,” kata bank pelaburan itu.

Sementara itu, indeks pembuatan Institute for Supply Management mencatatkan lantunan semula yang kukuh pada Januari susulan penurunan mendadak pada bulan sebelumnya.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare menokok enam sen setiap satu masing-masing kepada RM9.60 dan RM5.66, Public Bank meningkat 14 sen kepada RM24.92, Tenaga naik 18 sen kepada RM13.08 dan Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM8.50.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Bumi Armada, Iris Corporation dan London Biscuits meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 20.5 sen, 13.5 sen dan 60 sen, Bio Osmo naik satu sen kepada enam sen dan Sapura Energy berkurangan setengah sen kepada 26 sen.

Indeks FBM Emas naik 65.26 mata kepada 11,725.88, Indeks FBMT 100 meningkat 68.88 mata kepada 11,614.09 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 66.46 mata kepada 11,619.07.

Indeks FBM Ace meningkat 37.91 mata kepada 4,440.01 dan FBM 70 melonjak 46.36 mata kepada 13,863.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 105.96 mata kepada 17,620.94, Indeks Perladangan naik 18.79 mata kepada 7,299.03 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 0.75 mata kepada 161.86.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :