NASIONAL

Insiden Jambatan P.Pinang: Pemandu Toyota Vios didakwa esok

BUKIT MERTAJAM, 10 FEB: Pemandu kereta Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi 20 Januari lalu yang turut menyaksikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 terhumban ke laut dan mengorbankan pemandunya, akan didakwa esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pemuda berusia 21 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis telah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa lelaki yang bekerja sebagai pendandan rambut di salon milik ibunya itu esok,” katanya di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pada jam 2.54 pagi Ahad itu, Moey Yun Peng, 20 yang memandu SUV terbabit maut selepas kenderaannya terhumban ke laut akibat terbabit kemalangan dengan Toyota Vios berkenaan.

SUV dan mayat pelajar kolej swasta itu hanya dapat dikeluarkan dari dasar laut pada petang Selasa.


Pengarang :