NASIONAL

AADK: Kempen perangi dadah tunjuk hasil positif

ROMPIN, 10 FEB: Pelaksanaan kempen perangi dadah habis-habisan yang masuk tahun ketiga pada tahun ini, menunjukkan perkembangan positif berdasarkan pengurangan zon berisiko tinggi di seluruh negara.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pada masa ini, hanya 87 kawasan masih dikategorikan sebagai zon merah berbanding 178 kawasan sebelum ini.

Manakala, katanya, lima kawasan sudah dikategorikan sebagai hijau iaitu kawasan paling kurang masalah dadah, manakala 86 kawasan lagi bertukar kepada zon kuning (kes dadah sehingga 30 peratus).

“Mengikut rekod, Pahang mempunyai kawasan berisiko tinggi paling banyak iaitu 115 buah di seluruh kawasan Felda membabitkan 4,923 kes Orang Kena Pengawasan (OKP).

“OKP kawasan Felda di Rompin pula sebanyak 14.04 peratus atau 197 OKP meliputi 17 kawasan di Felda Selancar, Selendang dan Keratong,” katanya semasa berucap di Majlis Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan 2019 di Dewan Semai Bakti, Felda Keratong 3 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Anuar Malek dan Pengarah AADK Pahang, Rujhan Ramli.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerjasama strategik di antara Felda dan AADK yang berterusan dilihat mampu mencapai matlamat membebaskan negara dari belenggu dadah khususnya di tanah rancangan.

“Selaras dengan tema ‘Felda Kita Tanggungjawab Kita’, AADK tampil dengan inisiatif untuk melaksanakan aktiviti berfokus seperti program Omnipresence, iaitu menggerakkan pemuda dan belia menyebarkan risalah berkaitan.

“Hasrat mencapai status Felda bebas dadah mungkin agak sukar namun tidak mustahil jika program yang lebih bersasar ini lebih melekat di hati masyarakat terutamanya kepada generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, pelbagai cara yang dilakukan bagi meningkatkan kesedaran kepada warga Felda pelbagai peringkat umur mengenai bahaya dadah, antaranya menerusi pameran, ceramah dan kem motivasi.

“Penyalahgunaan dadah mudah berkembang melalui pengaruh di kawasan berkelompok sekali gus memudahkan urus niaga jual beli dadah, penggunaan jarum suntikan dan sebagainya.

“Pada masa kini juga, terdapat ramai pelajar peringkat sekolah mahupun pusat pengajian tinggi menggunakan amphetamine tanpa diketahui oleh ibu bapa yang kononnya untuk merangsang sistem saraf agar menjadi lebih bertenaga,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :