SELANGOR

Mahabbah Cycling 2019, kayuhan amal kumpul dana

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menganjurkan program kayuhan amal, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia, pada 16 Mac ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, program itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai pembelian mesin hemodialisis baharu, di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya, bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat, Untuk Buah Pinggang Sihat’, ia dijangka disertai kira-kira 500 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Penyertaan sehingga kini amat menggalakkan dengan yuran RM50 dikenakan kepada peserta terdiri daripada orang awam dan kelab basikal, di sekitar Lembah Klang.

“Penganjuran kayuhan amal ini sebagai sebahagian usaha mengumpul dana untuk menggantikan sembilan mesin hemodialisis dan empat RO Water kerana tempoh usia mesin melebihi 10 tahun.

“Setakat ini, seramai 270 pesakit menggunakan khidmat mesin berkenaan dan sering berlaku kerosakan dengan kos baik pulih yang tinggi sehingga menganggu proses rawatan saban hari,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, yayasan itu sebelum ini pernah menganjurkan larian amal yang menghimpunkan hampir 1,000 peserta terdiri daripada pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis.

Menariknya, Mahabbah Cycling 2019 itu turut mendapat perkenan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang bakal mencemar duli hadir memeriahkan acara.

“Sepanjang kayuhan amal itu, Raja Muda Selangor turut berkenan menziarah keluarga asnaf dan pesakit dialisis di Pusat Dialisis MAIS cawangan Kapar.

“Kayuhan amal sepanjang 12 kilometer ini akan diadakan di Masjid Al Islah, Kampung Sementa, Kapar sebagai lokasi pelepasan dan tamat acara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kelainan turut ditampilkan pada tahun ini melalui penganjuran mini karnival dan kenduri rakyat, di Masjid Al Islah selain kendera saji (food truck) daripada usahawan tempatan dan produk asnaf LZS.

Sebarang penajaan atau penyertaan boleh hubungi urus setia di talian 0146384475 (Muhammad Hafiz) atau 0177569476 (Zubair Azizan).

 


Pengarang :