PBTSELANGOR

Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MPSJ pada 2 Mac

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 27 FEB: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di Tapak Bazar Ramadan Bandar Kinrara Seksyen 5, Puchong, pada 2 Mac ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, sambutan itu bagi merapatkan hubungan antara pengurusan MPSJ bersama komuniti masyarakat Tiong Hua, di kawasan pentadbiran berkenaan.

Katanya, ia juga landasan bagi memupuk perpaduan kaum dan bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan budaya juga keunikan tradisi masyarakat berbilang kaum, di Malaysia.

“Dijangka seramai 2,000 pengunjung daripada pelbagai kaum akan hadir memeriahkan program ini.

“Pengunjung akan diserikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti tarian naga, nyanyian dan persembahan kebudayaan tiga kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.2/2019, di Bilik Mesyuarat Kenanga Aras 2, di sini, hari ini.

Program tahunan anjuran Pihak Berkuasa Tempatan itu dijadual bermula dari jam 7.30 hingga 10 malam.


Pengarang :