-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Malaysia sekat sementara import khinzir dari Vietnam

GEORGE TOWN, 23 FEB: Kerajaan akan mengenakan sekatan sementara terhadap import khinzir dan produk berkaitan dari Vietnam, selepas tiga ladang ternakan haiwan itu, di negara terbabit dikesan dijangkiti demam babi Afrika (ASF).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, larangan itu bagi membendung penularan ASF ke negara ini.

Beliau jugan menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang dengan wabak terbabit yang hanya menjangkiti haiwan berkenaan.

“ASF tidak ada impak ke atas manusia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program AgroInvest anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 1,400 kilogram produk babi dirampas di beberapa pintu masuk ke negara ini, namun kesemuanya dikesan tidak mengandungi ASF.

Setakat ini, 10 negara dilaporkan berdepan penyakit ASF iaitu China, Mongolia, Belgium, Hungary, Latvia, Moldova, Poland, Romania, Ukraine dan Chad, di Afrika.

Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu memberi peruntukan lebih besar untuk tujuan penyelidikan sektor pertanian kerana beliau difahamkan hanya 0.36 peratus daripada RM5 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-10.

“Daripada RM5 bilion itu juga, hanya 0.1 peratus diberikan kepada MARDI bagi menjalankan penyelidikan berkenaan peningkatan hasil daripada benih dan bijirin.

“Malaysia terletak di lokasi yang strategik dengan negara dikelilingi pasaran hampir 3.3 bilion orang di rantau Asia termasuk India dan China, justeru pemintaan produk makanan akan semakin bertambah dan penyelidik makanan memerlukan dana untuk mencipta produk baharu,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :