BERITA UTAMASELANGOR

Melaka perlu iktiraf pembangkang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 FEB: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim mencadangkan supaya kerajaan Melaka mengiktiraf ketua pembangkang seperti yang dilakukan, di negeri ini.

Katanya, pengiktirafan itu bagi mempraktiskan demokrasi sihat dan subur dalam sesebuah pentadbiran kerajaan.

“Kita perlu lakukan pembaharuan sama seperti di United Kingdom dan Australia.

“Anda boleh cadangkan perkara ini kepada Ketua Menteri Melaka dan saya berharap supaya ia akan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog ketika sesi lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Negeri Melaka (MELCAT) ke Bangunan Annex, hari ini.

Lawatan kerja sehari MELCAT ke DNS itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkenaan peranan dan tanggungjawab Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), di negeri ini.

Selangor sebelum ini mengiktiraf pembangkang melalui pelantikan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail sebagai salah seorang ahli jawatankuasa SELCAT.

Selain itu Kerajaan Selangor turut meneruskan tradisi pemberian peruntukan kepada Ahli Dewan Negeri pembangkang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut memaklumkan sehingga kini Selangor adalah negeri pertama yang berbuat demikian tanpa mengira latar belakang politik.

 


Pengarang :