SELANGOR

Muhyiddin: Calon muda PAKATAN sedia atasi masalah rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 25 FEB: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Muhammad Aiman Zainali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih mengingatkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu masa mudanya, sebelum ini.

Muhyiddin berkata, penyertaan Muhammad Aiman untuk menjadi pemimpin rakyat sama sepertinya ketika berusia 31 tahun.

“Sama seperti Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bergelar sebagai ahli kabinet paling muda dan ini adalah sejarah dalam PAKATAN.

“Apa yang saya hendak katakan ialah mereka dan saya satu ketika dahulu masih muda, namun kami sedia dilatih dan menerima kritikan tetapi apa yang paling penting ialah kami bersedia memikul tugas berat dan bersedia mendengar masalah rakyat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Rapat Rakyat Semenyih bertempat di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Naib Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, wajar bagi penduduk Semenyih mengundi calon PAKATAN pada 2 Mac ini berikutan Kerajaan Negeri masih ditadbir parti sama.

Katanya, Kerajaan Negeri diterajui PAKATAN mempunyai pelbagai inisiatif baik buat rakyat di bawah pentadbirannya.

“Ketika saya menyertai kempen kali ini, saya mendengar pelbagai jenis tawaran melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) diperoleh rakyat Selangor, tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana memberi begitu banyak kemudahan.

“Sudah tentunya faedah sedemikian akan terus disalurkan kepada penduduk Semenyih sekiranya mereka terus mengundi PAKATAN di sini,” katanya.


Pengarang :