SELANGORSENI

Pameran Seni PELUANG bakal himpun 300 karya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Sebanyak 300 karya seni daripada lebih 100 seniman tempatan akan dihimpunkan dalam Pameran Seni PELUANG yang bakal berlangsung, di The Property W & S, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, di sini, pada 23 dan 24 Mac ini.

Pengkarya Seni, Fathullah Luqman Yusuff berkata, festival julung kali diadakan itu turut menggabungkan artis daripada pelbagai bidang, medium dan disiplin kesenian meliputi lukisan gaya abstrak, ekspresionis, impresionis, naive serta seni fotografi.

Katanya, pameran terbabit membolehkan artis tempatan sama ada generasi baharu mahupun angkatan lama menggunakan sepenuhnya ‘PELUANG’ untuk berkumpul di bawah satu bumbung sama bagi meluahkan rasa dan semangat seni.

“Acara jualan vendor seniman dan usahawan produk tempatan membabitkan peniaga dalam kalangan seniman, artis DIY serta usahawan kraf akan diadakan sepanjang festival berlangsung.

“Terdapat juga aktiviti melukis bersama kanak-kanak dan artis terbabit dalam pameran melukis bersama golongan kanak-kanak di atas kanvas besar.

“Karya kolaborasi ini akan dijual kepada kolektor, syarikat swasta atau badan korporat serta hasil jualan diderma kepada mana-mana pertubuhan anak autisme atau rumah anak yatim juga golongan kurang berkemampuan sekitar Selangor,” katanya.

Pada masa sama, katanya, karya yang diketengahkan dalam pameran itu turut dijual dengan harga berpatutan antara RM300 hingga RM5,000 supaya karya seni mampu dimiliki mereka dalam lingkungan dekat, kaum kerabat mahupun orang awam berstatus sederhana.

“Setiap peminat dan khalayak seni yang mempunyai pendapatan sederhana juga berpeluang menjadi kolektor kerana kitaran inilah yang akan sentiasa menghidupkan, bahkan memberi semangat kepada artis-artis muda, termasuk seniman senior yang sudah lama berjuang dalam dunia seni tampak ini.

“Ada juga kalangan artis senior yang sudah lama tidak berpameran, yang dalam proses untuk bangkit semula setelah lama menyepi dan menghilangkan diri.

“Inilah peluang yang harus mereka ambil kerana setiap artis (seni tampak) itu perlu berusaha untuk berpameran solo, paling tidak pun menyertai pameran seni berkumpulan sebelum menggelar diri sebagai artis,” katanya.


Pengarang :