SELANGOR

Penduduk Selangor dinasihat kurangkan aktiviti cuaca panas

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 FEB: Penduduk di Selangor dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas gara-gara amaran suhu tinggi yang dikeluarkan Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), semalam.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, rakyat juga perlu berwaspada terhadap tanda awal strok haba berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Katanya, orang ramai yang melakukan aktiviti riadah juga digalakkan melakukannya pada waktu pagi dan juga lewat petang.

“Sebaiknya janganlah terlalu kerap berada di luar terutamanya pada waktu tengahari dan sebaiknya jangan lupa memakai topi ataupun cermin mata.

“Saya amat berharap supaya tidak ada kes strok haba berlaku di negeri ini dan untuk pengetahuan semua, ia berlaku apabila paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 celcius berbanding suhu normal badan manusia kira-kira 37 celcius,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Melalui laman web METMalaysia melaporkan, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang diramalkan akan dilanda cuaca panas sehingga 35 darjah celcius sehingga Isnin depan.

Bagaimanapun, Gombak dan Hulu Langat pula diramalkan hujan di satu dua tempat pada waktu pagi.

Pada masa sama, METMalaysia turut melaporkan 10 kawasan di Semenanjung mengalami suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius selama tiga hari berturut-turut.

Antara kawasan disenaraikan adalah di Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar, Sik (Kedah), Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak).

Kawasan lain turut dalam senarai ialah di Maran (Pahang), Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor).


Pengarang :