NASIONAL

Polis tahan 27 individu salah guna dadah

LAHAD DATU, 6 FEB: Polis menahan 27 individu terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan Ops Sarang di Kampung Desa Bajau dekat sini, semalam.

Dalam serbuan antara jam 3 pagi hingga 12.30 tengah hari itu, 40 individu diperiksa dan 22 lelaki serta lima wanita berumur lingkungan 15 hingga 58 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, daripada yang ditahan itu, seorang lelaki dan wanita diberkas atas kesalahan di bawah 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala selebihnya kerana kesalahan dibawah Seksyen 12(2) serta 15(1)(a) akta yang sama.

“Polis turut merampas empat paket plastik lut sinar pelbagai saiz berisi dadah Syabu bernilai RM1,713 (11.42gram) dalam serbuan berkenaan hasil risikan dan maklumat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nasri berkata, 16 lelaki serta empat wanita daripada 27 yang ditahan itu turut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sah.

Katanya, kesemua tangkapan itu dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :