Hilman Idham
SELANGOR

PRK Semenyih: 60 peratus pengundi bawah 40 pilih PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal mendominasi sokongan golongan muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kali ini, kata Pengarah Pilihan Raya Pemudanya, Muhammad Hilman Idham.

Beliau berkata, Pusat Panggilan di bawah kelolaan Bilik Gerakan Utama (BGU) Pemuda PAKATAN mendapati sebanyak 60 peratus daripada 13,000 golongan terbabit bersedia memberi undi kepada PAKATAN.

“Sementara beberapa hari lagi sebelum tempoh berkempen tamat, kita menerima respon yang amat positif daripada generasi muda khususnya melalui Pusat Panggilan yang ditubuhkan dengan fokus untuk berinteraksi dengan pengundi muda.

“Kini fokus kita adalah untuk meraih sokongan daripada lebih 25 peratus pengundi muda yang masih lagi belum membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Muhammad Hilman turut meluahkan keyakinan bahawa prestasi cemerlang dan kesinambungan kepimpinan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat mampu meraih dukungan kumpulan ini.

Beliau berkata, Pusat Panggilan Pemuda PAKATAN ini telah ditubuhkan kira-kira seminggu sebelum penamaan calon.

PAKATAN mempertaruhkan anak muda yang juga anak jati Semenyih, Muhamad Aiman Zainali sebagai calon pada PRK DUN Semenyih kali ini.

 


Pengarang :