SELANGOR

Sedia kerjasama berdaya wanita Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 24 FEB: Pertubuhan Wanita Elit (WE) bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Selangor untuk membantu memberdayakan golongan wanita, di negeri itu.

Pengerusinya, Datin Seri Nurzarina Sepran berkata, hal itu kerana WE adalah landasan untuk memacu wanita dari pelbagai peringkat dan bidang bagi menaik taraf kehidupan, menjana ekonomi serta melahirkan wanita berpengetahuan dalam teknologi.

“Usaha kami tidak akan terhenti untuk menyediakan ruang dan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing. Di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, kaum wanita diberi keutamaan melalui Kasih Ibu Smart Selangor dan bantuan perniagaan Hijrah Selangor.

“Justeru, kami bersedia bersama-sama kerajaan untuk membabitkan diri dalam program yang dijalankan supaya usaha memartabatkan kaum wanita ini membawa kejayaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa dan Majlis Ulangtahun kedua WE, di Dewan Banquet Astana, di sini.

Pada masa sama, Nurzarina berkata, pihaknya sedang berusaha mencari pusat sehenti di Lembah Klang bagi menyediakan latihan dan kemahiran untuk membantu usahawanita terbabit dalam aktiviti sosio ekonomi.

“Bagi memenuhi impian ini, pastinya bukan tugasan mudah, namun ia juga bukan mustahil untuk dilaksanakan.

“Sehubungan itu, kami berharap semua pihak dapat memberikan sokongan dan berjaya menjadi satu ‘referal’ untuk membolehkan wanita mendapat sokongan, bimbingan dan tunjuk ajar,” katanya.

WE ditubuhkan dua tahun lalu yang akronim kepada pemerkasaan wanita dari sudut ekonomi, legasi, inovasi dan teknologi.


Pengarang :